Assalammualaikum semua, berjumpa lagi kita pada kali ini... :)
pada hari ini saya ingin berkongsi dengan semua tentang anak benih dan teknik menanam serai dengan cara yang amat mudah dan praktikal.
Terlebih dahulu saya ingin ceritakan kepada semua perihal anak benih. Anak benih serai diambil dari serai yang telah tua atau matang iaitu yang berumur lebih kurang 7 hingga 9 bulan. Walaupun begitu kita juga boleh mengambil serai yang berumur 6 bulan untuk di buat benih, cuma peratusan untuk serai tersebut tumbuh subur adalah rendah berbanding dengan serai yang tua. Kita boleh memperolehi benih serai ini dari penanam-penanam serai, walaupun begitu, kita mestilah membuat tempahan kerana penanam serai ini biasanya akan menjual hasil tanaman mereka apabila mencapai 6 bulan dan meninggalkan rumpun-rumpun bagi mereka menanam semula nanti, jika kita membuat tempahan, maka barulah mereka akan menyimpan untuk kita. (walaupun terdapat penanam yang menjual benih, mereka ini sukar dijumpai dan biasanya mempunyai pelanggan tetap dan kadang kala ada juga segelintir penanam yang menipu pembeli dengan mengatakan bahawa serai tersebut adalah serai tua, sedangkan ianya baru berumur 4-6 bulan.) Serai untuk anak benih akan dipotong lebih pendek berbanding dengan serai yang mahu dipasarkan. Biasanya ia dipotong hanya setengah kaki. Anak benih yang telah diproses ini kemudiannya akan direndam didalam bekas takungan air selama 4 hingga 5 hari, ini bagi menggalakkan dan mempercepatkan pertumbuhan akar dan tunas baru. Jika tidak direndam sehingga akar yang baru muncul, maka kerja-kerja penyiraman terpaksa dilakukan setiap pagi selama 3 pagi berturut-turut selepas ia ditanam. Air rendaman tidak perlu terlalu banyak, memadai dengan 1 ke 1 1/2 inci dari pangkal serai.